AKUTAKJANJI (Baca ini dulu!!!) Penulis bukan orang yang berpengalaman dalam MTB, sekadar suka mencari, menyelidik, menyibuk dan mencuba sendiri. Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerosakan harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua.
Saya merayau-rayau di ruang siber tanpa tujuan khusus. Google sana,Google sini, terjumpa artikel ini. Saya rasa sangat sesuai, mudah dan berguna untuk panduan maka saya usaha sikit untuk terjemah dan tempelkan di sini. Semoga anda juga mendapat manfaat. Artikel asal bertajuk Mountain Biking : How To Jump A Log oleh Gary Thomann. Diceduk dari laman web Adirondack Sports and Fitness. Saya cuba terjemahkan untuk panduan bersama. Terjemahan dibuat tidak mengikut piawaian mana ISO dan tidak mengikut garispanduan Dewan Bahasa dan Pustaka. Ada beberapa tokok tambah sebagai penyedap rasa. Iqra'!
Biasanya, bagi sesetengah penunggang, bertemu dengan balak melintang di tengah jalan bukan sesuatu yang dialu-alukan. Apa yang dibuat bila berdepan keadaan begini?
Turun basikal dan pikul basikal melepasi balak (saya masuk kategori ini - Kelolo)
Berlaku gegaran pada tulang yang berakhir dengan jatuhan pada sisi atau dihumban melepasi bar hendal. Dah balak tu dilanggar berdepan...Dalam sejarah pertembungan berhadapan basikal dengan balak, jarang sangat balak mengalah.
Saya terbaca panduan melompat balak dalam sebuah majalah MTB yang menyebut "...angkat tayar depan melepasi balak dan benamkan gegancu ke balak, bongkok ke hadapan dan...".
BUKAN, bukan, bukan. Itu tak betul. Gegancu tak payah sentuh apa-apa, balak, batu atau bangku kat dapur. Cara yang betul untuk melepasi balak ialah menggunakan teknik dan pemasaan dan boleh diterimapakai pada sebarang kelajuan. Ia tak sama macam lompat arnab (bunny hop) yang memerlukan kelajuan. Selain balak, ia juga boleh digunakan untuk melepasi batu, akar dan banir dan memanjat tebing. Saya biasa menggunakannya tak kurang 50 kali dalam satu kayuhan. Tugasan anda bulan ini ialah belajar dan memahirkan teknik ini.
Bahagian 1
Pada asasnya, untuk kayuh melepasi balak anda perlu angkat tayar depan. Senang saja? Bukan turun basikal, cabut tayar, kemudian angkat. Itu memangla senang. Ini angkat tayar depan semasa sedang berkayuh. Untuk belajar dan berlatih, cari platform kayu kira-kira 5inci tinggi dan panjang 6 kaki. Kayuh ke arah platform; dalam jarak 10 kaki di depan platform, berdiri dalam kedudukan bersedia, pedal dalam kedudukan rata melintang, bengkokkan lutut sedikit dan ponggong terangkat dari pelana. Bersedia seolah dalam kedudukan nak menerkam. Sebaik menghampiri platform tekan bar hendal kemudian angkat dan letakkan tayar depan ke atas platform. Teruskan ke hadapan. Untuk peringkat ini biarkan dulu tayar belakang melanggar paltform dan naik ke atas platform.
Anda perlukan sedikit kelajuan; kalau anda mendekati platform dengan perlahan, bila anda mengangkat tayar depan, basikal tidak akan terus ke hadapan ke atas platform. Latihkan ini berulang-ulang sampai anda naik muak dan jelak. Cuba pelbagai kelajuan. Tinggikan platform jika perlu. INGAT! Anda bukan sahaja mencampakkan tayar depan ke udara; malah anda perlu mengangkat dan meletak. Buatkan tanda X pada platform beberapa inci dari hujung paltform. Latih tubi dan biasakan diri meletakkan tayar depan pada tanda X. Berlatihlah sampai "lebam" (ni Kelolo tambah...)
Bahagian 2
Sekarang, perluaskan kemahiran dan pemasaan. Mulakan seperti di atas, dan sebaik meletakkan tayar depan ke tanda X atas platform, condongkan badan sedikit ke depan, angkat tayar belakang naik ke atas platform (lebih berkesan kalau pakai pedal berkelit). Pergerakan tadi seharusnya senyap iaitu tiada ketukan atau gegaran kuat. Itu sajalah...Senang bukan?
Eh...tak jugak. Tak la semudah itu. Belajar kemahiran ini ada 2 bahananya, dan dua-dua boleh berlaku kepada anda. Pertama, anda angkat tayar depan awal sangat. Tayar yang sepatutnya diletak atas platform, terletak di depan platform. Platform dah jadi penyekat. Anda mungkin terhenti tiba-tiba atau dihumban melepasi bar hendal. Bahana kedua lagi tak tersangka; selepas meletakkan tayar depan dengan cantik, anda tunggu terlebih lama dan mengangkat tayar belakang bila tayar depan mencecah hujung platform. Akibatnya, terhasil kombinasi dua daya angkat ke atas tayar belakang. Tayar belakang diangkat melebihi had dan anda akan dihumban ke depan melepasi bar hendal. Bahana kedua ini cukup mengecewakan kerana pada mata kasar nampak macam anda sudah buat semua dengan betul. Betul semua dah betul. Cuma pemasaan terlewat beberapa saat mengangkat tayar belakang itu yang tak betul.
Langkah Keselamatan
Jarang ada orang yang belajar kemahiran lanjutan peringkat aura tinggi tanpa jatuh tergolek dog. Kalau jatuh-jatuh ni menjadi masalah kepada anda (anda tulang rapuh, kulit sensitif dan lambat sembuh kalau luka etc) baik tak payah cari penyakit. Bila berlatih, cuba minimakan risiko kemalangan. Dapatkan bantuan kekawan untuk bersedia menyambut anda kalau-kalau berlaku sesuatu yang tidak diingini. Bantuan kekawan ini bukan saja melindungi penunggang, malah turut membantu menambah keyakinan dan mempercepatkan proses pembelajaran. Jangan cari kawan yang becok dan celupar sudah.
Pakailah alat perlindungan. Helmet semestinya. Cuba juga biasakan dengan pelindung siku dan lutut. Biasanya bila terjatuh, bahagian dua sendi yang terjojol ini yang terkena dulu. Saya suka pakai vest plastik motocross. Ia memberikan lebih perlindungan kepada dada dan bahu dan tidak berat. Masalahnya sekarang tak tahu kat mana perginya sebab ada satu mamat sudah pinjam. Lupa pulang balik agaknya... Sebaiknya, pakailah alat-alat keselamatan semahu anda. Saya biasa berlatih menggunakan pelindung siku dan lutut, helmet penuh muka dan pelindung dada.
Lagi perincian...
Masalah biasa teknik ini ialah sela tangguh di antara meletakkan tayar depan dan mengangkat tayar belakang. Tiada tangguhan itu. Tak boleh tangguh-tangguh. Bila sudah mahir tahap aura paras 3, boleh maju setingkat lagi ke aras mengangkat tayar belakang sebelum tayar depan mencecah. Ni dah kira tahap aura 5 nih. SuperGuru punya tahap.
Cuba buat begini - kayuh menuju platform, angkat tayar depan macam biasa, kemudian, bila tayar depan hampir-hampir mencecah platform (jarak kira-kira 1-2inci kot?), angkat tayar belakang. Tayar depan akan menepuk saja tanda X sementara tayar belakang dah terapung di udara.
Untuk melompat balak, kayuh ke arah balak, bila di depan balak, angkat tayar depan. Sambil tayar depan melepasi balak, angkat pula tayar belakang. Bila belakang ternagkat, tayar depan akan menepuk balak dikuti tayar belakang yang akan melepasi balak dengan kelegaan 1 atau 2 inci. Tapi yang paling lega ialah sang penungganglah sebab dah lepas satu bala(k). Tiada peluh (mahunya takder! Original text says "No sweat.."), tiada gegar-gegar. Teknik ni boleh dilakukan pada sebarang kelajuan sebab anda sentiasa mengangkat tayar belakang supaya tayar depan menepuk balak. Sebagaimana yang saya telah sebut, pemasaan sangat-sangat penting dan latihan adalah untuk menyempurnakan pemasaan anda. Teruskan berlatih sehingga seluruh proses menjadi automatik dan seolahnya tabi'e. Sekiranya mahir, anda menguasai satu kemahiran menunggang trail aura tahap 5 tertinggi yakni tahap Gaban.
P/S nanti aku carikan youtube movie lompat balak nie ( y-tube yg ada dah hancus...)
No comments:
Post a Comment